Saturday 7 July 2012

Pendirian Anwar: Gimik, retorik atau politik serius?

Pendirian Anwar: Gimik, retorik atau politik serius?

ANALISIS - Malam tadi, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian beliau akan berundur dan menyerahkan perjuangan politik kepada generasi muda sekiranya beliau gagal dalam misi mengemudi Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pandangan kali pertamanya disuarakan menerusi satu temu bual dengan akhbar Financial Times pertengahan minggu ini.

Ekoran pengumuman yang dilihat agak mengejutkan ramai ini, anak sulungnya, Nurul Izzah dan beberapa pemimpin PR termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, barisan pembangkang masih memerlukan kepimpinan beliau.

Dalam kemunculan pertamanya pada majlis awam malam tadi susulan laporan Financial Times, Anwar yang kini memainkan peranan sebagai Ketua Pembangkang dan Ketua Umum PR dan juga Ketua Umum PKR berkata: "Ini cubaan saya yang terakhir."

“Jika kami menang, kami akan meneruskan. Jika tidak, biar generasi baru mengambil alih perjuangan.

“Biar saya bersara dan kembali kepada (kerja) mengajar," kata beliau pada ceramah yang di Rawang dan disusuli ceramah di Selayang.

Pendirian ini mencetuskan reaksi berbelah bahagi di kalangan pengikut dan pesaing politiknya.

Begitu juga dengan penganalisis politik sementara bancian Sinar Harian Online setakat jam 5 petang tadi menunjukkan majoriti menyifatkan langkah Anwar tidak wajar (sila layari ruang bancian online untuk memberi pandangan anda). Pembaca diberi empat pilihan untuk dipilih.

Ketika dihubungi Sinar Harian Online, penganalisis politik berpendapat kenyataan Anwar itu satu gimik dan strategi politik semata-mata.

Menegaskan pendiriannya, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, beliau melihat pendirian Anwar sebagai satu gimik dan strategi politik yang diatur bagi memenuhi hasratnya menjadi Perdana Menteri.

Beliau berkata, mustahil seorang yang berjiwa dan mempunyai cita-cita besar seperti Ketua Umum PKR itu mengambil keputusan untuk mengundur diri dalam arena politik walaupun Anwar mengalami kegagalan pada PRU13.

“Saya fikir itu cara beliau seolah-olah mahu memberi tekanan kepada rakyat dan penyokongnya supaya memastikan beliau tidak bersara.

“Itu strategi politik untuk kembalikan semula sokongan dan pastikan penyokongnya tak lari,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Dalam satu kenyataan semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara terus-terang berkata, Anwar tidak perlu berlengah-lengah dengan hasratnya untuk bersara daripada dunia politik.

"Dia patut bersara sekarang, tak ada guna langsung...dia (Anwar) punya hajat cuma nak jadi Perdana Menteri," katanya yang memecat Anwar dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada awal September 1998.

Dr Mahathir yang membawa Anwar ke dalam Umno tiga dekad yang lalu juga berkata, kenyataan Anwar itu merupakan retorik politik sahaja kerana menurut beliau jika pakatan pembangkang kalah dalam PRU13, Ketua Pembangkang itu masih terus dengan impiannya untuk menjadi Perdana Menteri.

Mohamed Mustafa berkata, namun sekiranya pendirian yang dikatakan beliau adalah benar, corak politik di Malaysia akan mengalami perubahan yang besar.
Menurutnya lagi, PR yang diketuai dan dipimpin Anwar akan berpecah belah dan menghadapi kesuraman dalam politik mereka.

“Sudah pasti arena politik akan berbeza dan PR akan mengalami banyak kesukaran.

“PKR dan PR akan harungi masa depan yang lebih suram, malah akan berdepan dengan perpecahan, namun itu mustahil untuk Anwar bersara kerana kalau beliau nak bersara tak perlu tunggu selepas pilihan raya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohamed Mustafa berkata, perkara yang dikatakan Anwar tidak perlu dipandang serius kerana beliau mempunyai cara yang tersendiri bagi memenuhi hasratnya.

Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia pula berkata, kenyataaan Anwar itu mempunyai dua perspektif yang berbeza.

Berkemungkinan ia satu strategi serta pendekatan beliau untuk memancing pengundi atas pagar yang belum membuat keputusan untuk memilih calon menjelang PRU13 supaya memberi sokongan kepadanya buat kali terakhir jika gagal membawa PR ke Putrajaya.

Keduanya, mungkin disebabkan faktor umur beliau yang semakin meningkat untuk bertanding dalam PRU14 nanti, jika kali ini beliau gagal membawa partinya (PR) mengambil alih kerajaan pusat.

Malah menurut beliau, keadaan politik memang akan bernbeza sekiranya kenyataan Anwar itu benar kerana perpaduan PR yang berbeza ideologi hanya boleh dikekalkan melalui kepimpinan beliau.

Di sebalik tanggapan bahawa Anwar membuat kenyataan bersifat retorik dan gimik, pendirian beliau bukan sesuatu baru dalam arena politik khususnya di negara-negara maju.

Kita belum biasa dengan pendekatan seperti ini di negara ini.

Siapa tidak mahu menang pilihan raya yang menjanjikan kuasa. Tidak kira BN atau PR.

Sekurang-kurangnya Anwar meletakkan kata dua dan sedia memikul tanggungjawab jika gagal mengemudi PR dalam PRU13. Kemungkinan ini satu lagi politik baru yang belum diuji.

PRU13 ditambah dengan satu lagi eksperimen janji politik.

Janji Anwar ini juga akan membawa implikasi ke atas landskap politik negara jika apa yang diperkatakan menjadi kenyataan. Tunggu dan lihat!



Anwar: Pendirian bersara jika gagal PRU13 kekal

SHAH ALAM - Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal dengan pendirian mahu berundur dan menyerahkan perjuangan politik kepada generasi muda sekiranya beliau gagal dalam misi mengemudi Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Ketua Pembangkang ini menekankan perkara itu di sebalik gesaan anaknya, Nurul Izzah dan beberapa pemimpin PR termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa barisan pembangkang masih memerlukan kepimpinan beliau.
"Ini cubaan saya yang terakhir. Jika kami menang, kami akan meneruskan. Jika tidak, biar generasi baru mengambil alih perjuangan.
"Biar saya bersara dan kembali kepada (kerja) mengajar," kata beliau pada ceramah yang di Rawang malam tadi.

Ceramah itu kemunculan pertama Anwar sejak temu bual dengan Financial Times baru-baru ini bahawa beliau akan bersara jika gagal dalam misi menawan Putrajaya pada PRU13.
Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR berkata, PR masih memerlukan khidmat Anwar untuk memastikan kemenangan pada PRU13.
Katanya, beliau tidak menafikan khidmat yang ditunjukkan ayahnya diperlukan dalam perjuangkan hak rakyat mendapatkan keadilan.

Dalam laporan Financial Times, Anwar dipetik berkata beliau menimbang akan bersara daripada politik sekiranya PR gagal merampas Putrajaya pada PRU13.

Katanya, beliau akan kembali kepada aktiviti asalnya sebelum menyertai politik iaitu mengajar sama ada di dalam ataupun luar negara.

Menurut Nurul Izzah, berkemungkinan kenyataan yang dikeluarkan lebih meminta keseluruhan jentera PR secara keseluruhannya menumpukan usaha dalam proses memenangi PRU13.
Bagaimanaun menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Anwar tidak perlu berlengah-lengah dengan hasratnya untuk bersara daripada dunia politik.
"Dia patut bersara sekarang, tak ada guna langsung...dia (Anwar) punya hajat cuma nak jadi Perdana Menteri," katanya semalam.
Dr Mahathir berkata, kenyataan Anwar itu merupakan retorik politik sahaja kerana menurut beliau jika pakatan pembangkang kalah dalam PRU13, Ketua Pembangkang itu masih terus dengan impiannya untuk menjadi Perdana Menteri.
Dipetik The Malaysian Insider hari ini, Anwar yang muncul di dua lokasi ceramah di Selangor malam tadi berkata, beliau yakin PR akan menang kali ini.
"Saya yakin, insya-ALLAH, Pakatan Rakyat akan menang, kami akan mempertahankan Selangor dan menuju ke Putrajaya," katanya lagi.

1,000 rumah untuk penduduk

Wartawan Sinar Harian
7 Julai 2012
RHU RENDANG, Marang – Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM70 juta bagi membina 1,000 rumah mampu milik bagi membolehkan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Rhu Rendang di sini, menikmati kediaman lebih selesa.

Pegawai Pembangunan Dun Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 400 unit rumah sedang dalam pembinaan dan akan siap dibina dalam masa terdekat, manakala 200 unit lagi akan siap beberapa bulan lagi.

Menurutnya, baki 400 unit lagi rumah jenis itu pula dijangka siap sepenuhnya tahun depan.

“Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Said) sebelum ini meluluskan projek perumahan mampu milik itu dan ia sedang rancak dalam pembinaan, setiap sebuah berharga RM100,000 tapi ia dijual antara RM60,000 hingga RM70,000 sebuah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Selain itu, Nik Dir berkata, lebih 300 lagi unit rumah mampu milik merangkumi rumah jenis banglo, teres setingkat dan dua tingkat serta rumah berkembar selain premis kedai juga akan dibina di Kampung Kelulut di sini, untuk penduduk tempatan.

“Rumah-rumah yang dibina berdekatan Sekolah Kebangsaan Kelulut itu bakal dimiliki oleh mereka yang berpendapatan RM2,000 ke bawah dengan diikuti golongan pertengahan serta golongan peniaga di kawasan ini,” katanya.

Warga emas nyaris rentung


DUNGUN - Seorang warga emas nyaris menjadi mangsa tragedi apabila api yang membakar sebuah kedai makan bersebelahan, menyambar dinding rumahnya dalam satu kebakaran di perkampungan yang kebanyakannya didiami nelayan dekat sini, awal pagi kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 3.15 pagi itu dipercayai berlaku apabila api yang memusnahkan struktur kedai makan milik Che Othman Abdullah, 50, itu menyambar dinding rumah didiami Minah Mohd Zin, 75, sebelum merebak ke sebuah lagi rumah berhampiran milik Abdul Rahman Abbas, 60.

Ketika kejadian, Minah sedang tidur di ruang tamu bersama anaknya yang cacat pada bahagian kaki, Latipah Che Min, 42, dan seorang lagi anak perempuannya, Hasnah Che Min, 32, difahamkan tidur dalam bilik.

Kebakaran itu disedari Minah apabila dia terasa bahang api menyelinap masuk melalui dinding rumah, sebelum ternampak api lalu menjerit ke arah dua anaknya yang sedang tidur agar menyelamatkan diri kerana api semakin marak.

“Badan saya tiba-tiba terasa panas, saya melihat melalui celah dinding api sedang marak membakar kedai sebelah.

“Anak saya, Hasnah kemudiannya keluar untuk mendapatkan bantuan, sebelum beberapa jiran datang lalu mengusung saya dan Latipah keluar rumah,” katanya.

Sementara itu, pemilik kedai makan berkenaan, Che Othman berkata, ketika kejadian dia berada di rumah yang letaknya kira-kira satu kilometer dari kedai miliknya yang terbakar itu.

Katanya, dia menutup kedainya kira-kira jam 7 petang untuk pulang ke rumah.

“Sebelum menutup kedai, saya rasa semua suis elektrik sudah ditutup,

“Justeru, saya tidak pasti apa punca kebakaran itu,” katanya yang mengalami kerugian kira-kira RM70,000.

Sepasukan anggota bomba dan penyelamat tiba bersama sebuah jentera sebaik menerima panggilan kecemasan.

Bomba masih menjalankan siasatan mengenai punca kebakaran dan nilai kerugian dialami kesemua mangsa yang terlibat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Wan Hassan Mohd Ramli turut menziarahi mangsa kebakaran sebaik mendapat berita mengenai kejadian itu.

Friday 6 July 2012


Musuh Nombor Satu Barisan Nasional Dan Shahrizat Jalil Tersungkur Dari Kuasa

Oleh: Karmic Wheel

KUALA LUMPUR — Sewaktu mencalonkan diri sebagai calon ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan parti tersebut tahun 2010, Rafizi Ramli adalah nama yang asing bagi ramai pihak.

Walaupun telah melibatkan diri dengan gerakan reformasi anjuran Datuk Seri Anwar Ibrahim semenjak hari pertama pada tahun 1998, watak Rafizi tenggelam oleh kerana kehebatan mentornya, Allahyarham Adelan Benan Omar. Adelan Benan Omar dan Rafizi Ramli kedua-duanya membesar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Dalam tulisan di blognya, Rafizi menceritakan bagaimana manusia “genius” (Adelan) mendidiknya sehingga menjadi seorang pendebat hebat.

Rafizi kemudiannya masuk ke dunia korporat dan pernah bertugas di GLC seperti Petronas. Akauntan bertauliah ini muncul kembali dalam arena politik pada penghujung tahun 2010. Beliau dikatakan bertanggungjawab menyediakan teks debat Anwar ketika berhadapan dengan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Hari ini, nama Rafizi Ramli digeruni. Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil tersungkur dari kuasa akibat dari kebijaksanaan anak muda ini menyusun strategi dalam mendedahkan skandal National Feedlot Corporation (NFC) yang melibatkan keluarga Shahrizat.

Selepas NFC, Rafizi terus membongkar skandal dan penyelewengan. Terbaru, skandal berkaitan dengan kerja-kerja pembinaan tambahan LRT laluan Ampang.

Lawan tidak memberikan Rafizi jalan mudah. Pengarah strategik PKR itu diserang kembali dari pelbagai penjuru. Bank Negara Malaysia (BNM) dalam isu NFC, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dalam skandal LRT laluan Ampang dan terbaru semalam, blog beliau www.rafiziramli.com pula digodam.

“Saya percaya selepas pendedahan skandal NFC, rakyat lebih percayakan satu pembentangan hujah yang didokong oleh fakta dan bukti. Pada masa yang sama, rakyat mahu melihat politik baru yang tidak diwarnai serangan peribadi, tetapi berasaskan isu kepentingan awam.

“Kebetulan itu tugas saya dalam PKR dan saya harus tampil membawa isu-isu begini yang melibatkan kepentingan awam. Saya fikir BN merasakan mereka tidak boleh mengulangi ‘NFC fiasco’ kali kedua.”

Tidak ramai yang tahu sebenarnya pengarah strategik PKR itu bekerja dalam sebuah pasukan yang tersusun dan didokong oleh pemimpin kanan PKR dalam mendedahkan sesuatu skandal besar. Ramai menyangka Rafizi bergerak secara bersendirian dan membuat keputusan sendiri.

“Saya mendapat sepenuhya sokongan dari rakan-rakan PKR. Kepimpinan parti berikan sepenuh mandat untuk lakukan siasatan dan ambil pendirian mewakili parti dalam hal-hal ini. Malah, saya tidak perlu pun melaporkan kepada Biro Politik segala perancangan saya dalam sesuatu hal supaya saya ada kelonggaran sepenuhnya menyusun strategi sesuatu isu.

“Dalam strategi kami membina hujah dan isu, contohnya dalam kes NFC, sebenarnya kami ada ‘tag team’ dan kumpulan sokongan yang akan mengembangkan isu itu secara tersusun. Malah, PKR memberi dokongan penuh dari segi nasihat dan bantuan guaman. Setiap isu akan ada 2-3 orang pimpinan kanan yang bersama-sama saya. Cuma,parti memberi kepercayaan sepenuhnya kpd saya untuk ke depan,” jelas Rafizi.

Anak muda kelulusan United Kingdom (UK) itu ternyata tidak gentar dengan serangan bertali arus yang datang kepada dirinya. Tekanan yang dihadapkan kepada dirinya masih belum lagi mmampu menghentikan beliau dari terus membongkar skandal penyelewengan.

“Saya tidak terlalu memikirkan risiko atau kesan kepada saya. Yang penting sesuatu isu itu ada kesan besar kepada rakyat dan sama ada fakta atau bukti itu tepat.

Jadi saya tidak banyak pertimbangan materialistik dan tidak ada cita-cita yang tinggi.

“Oleh itu saya lebih mudah menumpukan kepada tugas tanpa terlalu berkira mengenai kesan kepada diri saya.
Yang paling penting – perlu ada asas kekuatan moral dan agama. Jika kita yakin kita berada di jalan yang benar, ‘gunung’ pun boleh dialih,” kata bakal calon PKR di kerusi parlimen Pandan itu lagi.

Pengarah strategik PKR itu telah berdebat sebanyak dua kali bersama ketua pemuda Umno, YB Khairy Jamaluddin. Pertama debat anjuran UKEC di UK dan terbaru dalam debat anjuran Sinar Harian. Dalam kedua-dua debat, Rafizi kelihatan tenang menghuraikan hujah-hujahnya tanpa retorik dan serangan peribadi. –

JM Aziz penyajak tersohor

Sajak: Kisah Manusia

Aku berkolek di dada laut
Dengan jala, jala gelama
Ku tebarkan dengan sepenuh tenaga
Memburu hidup, memburu hidup

Aku bersajak di tangga pondok
Dengan mata, mata si pena
Ku kabarkan kisah manusia
Dipintu mahu di pintu mahu

Aku berkolek dan aku bersajak
Dari pantai timur ke kuala selut
Mencari penawar turunlah angin selatan
Soronglah kolek ku ke pelabuhan kelam


JM Aziz. Nama sebenarnya Abdul Aziz bin Abdul Rahman dilahirkan pada 3 November 1934 di Kampung Hujung Tanjung, Tanjung Luang, Seberang Takir, Kuala Terengganu. Anak kelima dalam keluarga enam orang adik beradik. Mendapat pendidikan awal sehingga darjah lima di Sekolah Melayu Seberang Takir sebelum meneruskan pelajarannya di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman Kuala Terengganu bagi mendalami penguasaannya dalam Bahasa Inggeris selama hampir 3 tahun dan berhenti disebabkan kesempitan kewangan oleh keluarganya.Selepas itu bekerja sebagai nelayan dan pada tahun 1951 beliau mula berkhidmat dalam perkhidmatan Polis Khas Tanah Melayu, setahun kemudian 1952 beliau bertukar ke jawatan Polis Hutan

Perjalanan hidupnya setelah kembali ke Seberang Takir menjadi semakin mencabar dan dijalani dengn penuh keperitan. Kembali menjadi nelayan disamping menarik beca dan sempat bekerja sebagai buruh pelabuhan di Kuala Terengganu. Pada tahun 1965 beliau disahkan mengidap penyakit kusta dan di rawat di Pusat Pemulihan Penyakit Kusta di Sunga Buloh, Selangor. Akibat daripada itu beliau tidak dapat melihat dan sebahagian daripada anggotanya cacat.

Beliau mula menulis pada tahun 1952 dalam bidang penulisan rencana dan juga cerpen tetapi sehingga kini genre puisi telah menjiwai dirinya kerana menurutnya, alam puisi adalah hati dan perasaan serta jiwanya sendiri.


Thursday 5 July 2012

Salam Anak Terengganu

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Tanggal tarikh 5 Julai 2012 saya create satu blogspot sebagai wadah penulisan dari benak pemikiran, pendapat, cadangan, kritikan khusus untuk semua rakyat Terengganu Darul Iman yg dicintai. Diharap semua dapat menyokong dan memberi komen yg membina terhadap semua penulisan saya.Saya juga sedia dikritik dan menerima teguran dari mana2 pihak. Saya juga ingin meminta maaf jika penulisan saya menyinggung perasaan sesetengah pihak mahpun individu.