Saturday 7 July 2012

Warga emas nyaris rentung


DUNGUN - Seorang warga emas nyaris menjadi mangsa tragedi apabila api yang membakar sebuah kedai makan bersebelahan, menyambar dinding rumahnya dalam satu kebakaran di perkampungan yang kebanyakannya didiami nelayan dekat sini, awal pagi kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 3.15 pagi itu dipercayai berlaku apabila api yang memusnahkan struktur kedai makan milik Che Othman Abdullah, 50, itu menyambar dinding rumah didiami Minah Mohd Zin, 75, sebelum merebak ke sebuah lagi rumah berhampiran milik Abdul Rahman Abbas, 60.

Ketika kejadian, Minah sedang tidur di ruang tamu bersama anaknya yang cacat pada bahagian kaki, Latipah Che Min, 42, dan seorang lagi anak perempuannya, Hasnah Che Min, 32, difahamkan tidur dalam bilik.

Kebakaran itu disedari Minah apabila dia terasa bahang api menyelinap masuk melalui dinding rumah, sebelum ternampak api lalu menjerit ke arah dua anaknya yang sedang tidur agar menyelamatkan diri kerana api semakin marak.

“Badan saya tiba-tiba terasa panas, saya melihat melalui celah dinding api sedang marak membakar kedai sebelah.

“Anak saya, Hasnah kemudiannya keluar untuk mendapatkan bantuan, sebelum beberapa jiran datang lalu mengusung saya dan Latipah keluar rumah,” katanya.

Sementara itu, pemilik kedai makan berkenaan, Che Othman berkata, ketika kejadian dia berada di rumah yang letaknya kira-kira satu kilometer dari kedai miliknya yang terbakar itu.

Katanya, dia menutup kedainya kira-kira jam 7 petang untuk pulang ke rumah.

“Sebelum menutup kedai, saya rasa semua suis elektrik sudah ditutup,

“Justeru, saya tidak pasti apa punca kebakaran itu,” katanya yang mengalami kerugian kira-kira RM70,000.

Sepasukan anggota bomba dan penyelamat tiba bersama sebuah jentera sebaik menerima panggilan kecemasan.

Bomba masih menjalankan siasatan mengenai punca kebakaran dan nilai kerugian dialami kesemua mangsa yang terlibat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Wan Hassan Mohd Ramli turut menziarahi mangsa kebakaran sebaik mendapat berita mengenai kejadian itu.

No comments:

Post a Comment